Cuti-cutiMalaysiaSabah.com

Cuti-Cuti Malaysia – Pakej Gunung Kinabalu, Syiok Kota Kinabalu, Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pakej Bulan Madu, Sewa Van

Ladang Tenusu Desa- Satu-satunya tempat di Sabah di mana anda berasa seperti berada di New Zealand

Jika anda ingin menikmati keindahan Sabah yang terkenal dengan gunung dan kawasan pantai  yang menawan, anda pasti mendapati bahawa Ladang Tenusu Desa di Kundasang akan membuatkan anda terpesona dengan pemandangan Gunung Kinabalu yang menyelubungi ladang ini, cuaca yang sejuk segar serta persekitaran yang begitu menghijau. Anda akan berasa seperti berada di ladang di New Zealand!

Ladang Tenusu Desa terletak di kaki Gunung Kinabalu di kawasan Tanah Tinggi Mesilau. Ladang Tenusu Desa yang seluas 199 hektar ini merupakan ladang tenusu yang terbesar di Sabah. Untuk sampai ke Ladang Tenusu Desa, anda hanya perlu menaiki kenderaan selama 30 minit jika anda bertolak dari Taman Negara Kinabalu. Sekiranya anda menaiki bas atau memandu kereta melalui jalan menaiki bukit anda pasti akan dapat melihat keindahan pemandangan kawasan ladang sayur yang begitu cantik. Perjalanan anda ke Ladang Tenusu Desa pasti merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Ladang Tenusu Desa di Kundasang berada pada 2000 meter di atas paras laut. Memang tidak menghairankan sekiranya udara di kawasan ini adalah begitu sejuk dan segar. Sebaik sahaja anda memasuk kawasan ladang Desa anda pasti akan terpegun dengan kawasan luas yang penuh kehijauan memenuhi penglihatan anda. Anda akan dapat melihat lembu-lembu baka Frisian bebas berkeliaran di sekitar ladang. Kehadiran lembu-lembu tersebut memang pasti membuat anda terasa bahawa anda bukan lagi berada di Sabah. Sebaliknya suasana di sini lebih menyerupai ladang di New Zealand.

Anda akan mendapati bahawa kira-kira 133 hektar daripada kawasan ladang Desa dipenuhi dengan tumbuhan unik yang tidak boleh dijumpai di Kundasang. Anda akan dapat melihat tumbuhan seperti semanggi putih, Kikuyu dan Narok Setaria ditanam di seluruh kawasan ini. Anda boleh berjalan secara santai dan menjelajahi kawasan sekeliling ladang Desa sambil menikmati dan menghayati suasana yang indah ini.

Selain dari melihat pemandangan yang indah di sini, anda juga berpeluang untuk melihat bagaimana susu lembu diperah di stesen perahan. Susu lembu diperah secara automatik pada 3 petang setiap hari. Memang agak menarik untuk anda melihat lembu-lembu Frisian yang seolah-olah tahu untuk beratur sebaik sahaja mereka sampai di stesen perahan. Setiap lembu Frisian boleh menghasilkan sehingga 14 liter susu setiap hari. Anda boleh berkunjung ke sini melalui lawatan berpandu ataupun anda boleh pergi terus untuk melihat bagaimana susu diperah dengan sendiri.

Anda berpeluang untuk membeli susu segar yang sudah diproses di lobi Ladang Tenusu Desa ini bermula dari jam 11 pagi. Anda past dapat merasakan kelazatan susu yang segar ini. Jika anda mahukan cenderamata sebagai tanda kenangan lawatan anda, anda juga boleh membeli kemeja t, cawan dan magnet peti sejuk di sini. Anda patut membawa buah tangan dari ladang Desa untuk keluarga dan sahabat anda!

Ladang Tenusu Desa di Kundasang memang adalah tempat yang paling sesuai untuk anda mengalami suasana indah ladang yang tidak pernah dicemari. Anda tidak perlu menaiki pesawat ke New Zealand untuk berbuat demikian. Memang sungguh berbaloi sekali anda membayar harga masuk ke ladang sejumlah RM3 itu!

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*


1 × = one